comscore
Tumpuan :
Nasional

Maut dilanggar selepas buat pusingan U

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 35 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Labok, malam tadi. FOTO: Ihsan Polis

MACHANG: Penunggang motosikal dipercayai membuat pusingan U secara mengejut maut selepas dilanggar kereta di Kilometer 35 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Labok, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku pada 7.30 malam menyebabkan mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu Proton Iswara dari arah Machang menghala ke Kota Bharu.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa yang bergerak dari lorong sebelah kiri jalan tiba-tiba membuat pusingan U.

“Akibat itu kereta Proton Iswara yang berada di belakang motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Pada masa sama sebuah kereta Proton Saga yang melalui jalan itu turut merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, penunggang motosikal cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Saringan ujian air kencing ke atas pemandu kereta Proton Iswara didapati positif benzo.

“Pemandu terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairulanwar Adam di talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-9751222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini