comscore
Tumpuan :
Nasional

Maut ditembak pemburu haram: Mendiang Koperal Petrus selamat disemadikan

 

SARIKEI: Mendiang Koperal Petrus Linggi Liman disemadikan di Tanah Perkuburan Persendirian Sungai Raba, berhampiran kampung halamannya di Rumah Panjang Janting, Lemujan, Pakan pagi tadi.

Pengebumian berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan, sebaik jasad mendiang tiba di tanah perkuburan itu pada jam 7.05 pagi, dengan kerandanya diusung oleh lapan anggota tentera.

Turut hadir Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Fauzi Kamis, pegawai-pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM), ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang serta penduduk kampung.

Sebaik upacara pengebumian disempurnakan, Mohamad Fauzi kemudian menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan juga sumbangan kepada balu mendiang, Grace Jummit Sylvester.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan dua orang anak berusia tujuh tahun dan satu tahun sembilan bulan.

Mendiang Petrus, 29 tahun adalah anggota dari formasi 9 Briged, Sibu yang maut selepas ditembak dua pemburu haram jam 2.45 pagi, 23 September lalu, ketika melaksanakan Eksesais Pasak Bumi (EPB) Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja di Song, Kapit.

Mangsa sebelum itu diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song dan dirujuk Hospital Kapit untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Sementara itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 31 tahun serta merampas selaras senapang buatan sendiri serta peluru penabur.

Ketika soal siasat, kedua-dua suspek mengatakan menembak mangsa kerana menyangka ia binatang liar, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal selepas mendengar jeritan mangsa yang terkena tembakan di bahagian kiri dan belakang badan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini