comscore
Tumpuan :
Nasional

Maut selepas hantar isteri ke tempat kerja 

Kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 42, Jalan Ipoh-Lumut dekat Jambatan Bota, di sini hari ini. Foto : NSTP / Ihsan pembaca

PARIT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 42, Jalan Ipoh-Lumut dekat Jambatan Bota, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi tadi, mangsa dikenali Muhammad Syafiq Muhammad Nazri, 23, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru Layang-layang Kanan selepas menghantar isterinya ke tempat kerja di Titi Gantung.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan membabitkan mangsa seorang diri yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Lumut menghala ke Ipoh.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, setibanya mangsa di lokasi kejadian, motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian. Proses bedah siasat dijalankan terhadap mangsa di Hospital Changkat Melintang mengesahkan kematian mangsa akibat kecederaan parah di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Muhammad Aizat Abdullah di talian 05-3712222 untuk membantu siasatan.

Loading...
Terkini