comscore
Tumpuan :
Nasional

Maut selepas langgar lampu isyarat merah

Penunggang motosikal terbunuh selepas melanggar lampu isyarat merah dan berlanggar dengan SUV di Jalan Pantai Belimbing One Krubong, di sini, malam tadi. – FOTO: Ihsan IPD Melaka Tengah.

MELAKA: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pantai Belimbing One Krubong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu mangsa, Muhammad Hairul Nizam Mat Sahat, 20, yang juga operator kilang maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha Y15R dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forestor.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai perunding perkahwinan sedang dalam perjalanan arah Tanah Merah menghala ke Taman Krubong.

“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa kereta itu hendak meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba datang motosikal dari arah Krubong Perdana melanggar lampu isyarat merah dan menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, akibat pelanggaran itu penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat manakala kenderaan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan.

“Setakat ini polis masih mengesan saksi yang melihat atau mengetahui kemalangan bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini