comscore
Tumpuan :
Nasional

MAVCOM Akan Kawal Selia Harga Tiket Penerbangan Menjelang PRU-15 – Wee

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan mengawal selia harga tiket, supaya syarikat penerbangan tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata walaupun harga tiket penerbangan, secara lazimnya akan meningkat mengikut Mekanisme Harga Dinamik jika terdapat sesuatu peristiwa melibatkan pergerakan orang ramai, MAVCOM akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan didapati menaikkan harga tidak mengikut syarat ditetapkan.

“Mengikut mekanisme harga dinamik yang mana-mana syarikat penerbangan dalam dunia tetapkan, lebih awal (tiket) ditempah, ia murah dan lebih dekat dengan satu tarikh atau peristiwa, harga akan menjadi lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi Taxi4U di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Wilayah Tengah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan harga tiket penerbangan naik dua kali ganda susulan pengumuman tarikh hari mengundi bagi PRU-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi PRU-15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. – BERNAMA

Loading...
Terkini