comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat ditemukan di Tasik Senadin mangsa kes bunuh

MIRI: Polis mengesahkan penemuan mayat lelaki di tebing Tasik Senadin di sini semalam, sebagai mangsa kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berusia lingkungan usia 57 tahun dijumpai dalam keadaan tertungkup di kawasan tebing tasik.

“Mangsa hanya berseluar dalam sahaja dan terdapat seluar pendek yang tersangkut pada pergelangan kaki.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat enam kesan kecederaan di bahagian kepala disyaki berpunca tetakan objek tajam, dua kesan tetakan pada tapak tangan kanan, satu kesan tetakan bahagian belakang dan satu kesan tetakan pada lutut sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kes itu jam 9.03 pagi yang memaklumkan terjumpa seorang lelaki tidak sedarkan diri di tasik terbabit.

“Ekoran itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah bergegas ke tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, pihak polis telah menahan seorang lelaki tempatan dalam lingkungan usia 30 tahun untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana ia akan menggangu siasatan,” katanya.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Anuar Afendi di talian 019- 7319540 atau 085-433730 untuk menyalur maklumat berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini