comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat lelaki ditemukan di tali air

Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lelaki ditemukan di sebatang tali air di Kampung Tetambah, di Manir dekat sini hari ini.

Mayat Syed Mohd Azmi Sikh Ismail ditemukan sekumpulan penduduk kampung yang sedang mencari kepah di kawasan terbabit kira-kira 4.45 petang tadi.

Adik perempuan mangsa, Syarah Sikh Ismail, 22, berkata mangsa berusia 39 tahun yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik keluar rumah petang Sabtu lepas untuk memancing.

Foto: NSTP

Bagaimanapun pada hari itu beliau tidak pulang ke kediaman keluarga mereka di Kampung Pujuk di sini.

“Walaupun abang tidak pulang kami tidak syak apa-apa kerana arwah biasa keluar memancing dan pulang lewat malam atau keesokan harinya.

“Malah semalam (Ahad) ada penduduk kampung yang terserempak dengannya. Kami ingatkan dia baik-baik saja…tak sangka perkara buruk telah menimpanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Syarah berkata beliau dimaklumkan mengenai penemuan mayat abangnya oleh orang kampung melalui pesanan WhatsApp.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut. — BERNAMA

Loading...
Terkini