Tumpuan :
Nasional

Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terbakar di ladang kelapa sawit

Foto ihsan pembaca

SUNGAI PETANI: Mayat seorang lelaki tanpa identiti dengan kesan terbakar ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling di sini pagi, semalam.

Mayat lelaki yang dipercayai terbakar lebih 90 peratus itu ditemui oleh seorang penjaga kebun buah-buahan sekitar jam 11 pagi, sewaktu dia sedang menghalau kera yang memasuki kebunnya.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia yang tinggal berdekatan lokasi penemuan mayat itu terkejut sebaik dimaklumkan penemuan mayat itu dan bergegas ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, mayat itu ditemui dalam keadaan meniarap dan dipercayai mati mungkin sekitar 24 jam lalu kerana belum berbau.

“Pihak polis yang datang ke lokasi kemudian melakukan pemeriksaan dan membawa mayat berkenaan ke hospital,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat bagi memudahkan siasatan polis dilakukan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan mayat yang terbakar itu.

Beliau berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) buat sementara waktu sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat yang dilakukan.

“Kita juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu atau menghubungi baai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan kegusaran awam berkaitan kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini