comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat mangsa baham buaya ditemui

LAWAS: Mayat seorang lelaki yang dipercayai maut dibaham buaya ketika memancing di Sungai Patarikan ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat di sungai berkenaan awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini, mayat mangsa ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi mangsa diseret reptilia ganas itu sebelum tenggelam petang semalam.

Katanya, semasa kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Yamuna Yading, 51 sedang memancing bersama menantu dan birasnya sekitar jam 5.30 petang sebelum disambar oleh buaya berkenaan di hadapan kedua-dua mereka.

“Justeru itu, menantu mangsa bertindak membuat laporan polis di  Balai Polis Lawas bagi membantu dalam usaha pencarian mangsa,” ujarnya.

Jelasnya, usaha pencarian yang memasuki hari yang kedua yang bermula sekitar jam 7 pagi tadi menggunakan teknik pencarian secara permukaan ke kawasan hilir dan hulu sungai sebelum menemukan mayat mangsa terapung di tengah sungai pada jam 9.53 pagi.

“Sejurus itu pasukan mencari dan menyelamat bertindak menaikkan mayat mangsa ke dalam bot  sebelum menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.

Dengan penemuan mayat mangsa sekaligus menamatkan usaha pencarian di hari yang kedua ini pada jam 10.40 pagi.

Loading...
Terkini