KUCHING: Polis sedang menyiasat kemungkinan mayat tanpa identiti yang ditemui di kawasan paya bakau di Kampung Sampun Tebun, dekat Asajaya di Samarahan, hari ini adalah nelayan warga Thailand yang dilapor hilang sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata proses pengecaman akan dijalankan bagi mengenal pasti mayat terbabit.
Mengulas lanjut, katanya warga Thailand itu, Chaloem Sonada, 64, dilaporkan masih hilang selepas bot nelayan dinaikinya karam di perairan Pulau Burung, di sini.
Mangsa yang dilapor menaiki bot nelayan tempatan keluar ke laut dari jeti Tanjong Bako di sini bersama lima rakannya untuk menangkap ikan pada 17 Disember lalu.
Bagaimanapun, bot mereka dikhuatiri karam selepas terputus hubungan pada 20 Disember, sekali gus operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bagi mengesan mereka.
Susulan operasi itu, lima kru bot nelayan ditemui selamat iaitu tiga warga Kemboja yang dikenali sebagai Oeun Van, Khlok Sem dan Thy Ny serta dua warga Indonesia, Andikah dan Irman.
Sementara Chaloem masih hilang.
Terdahulu, khidmat anggota bomba digunakan untuk membawa mayat tanpa identiti itu yang diikat pada pokok bakau bagi mengelak dihanyutkan arus, selepas ditemui terapung oleh penduduk kampung di kawasan laut di muara Sungai Sampun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya bergerak ke lokasi jam 9.30 pagi menggunakan bot serta berjalan mengharungi paya bakau untuk mencari lokasi sebenar mayat itu diikat penduduk.
“Pada jam 11 pagi, pasukan operasi menemui mayat di kawasan lumpur. Ketika dijumpai, mayat dalam keadaan tertiarap, tanpa pakaian dan kaki sebelah kiri didapati patah.
“Operasi membawa keluar mayat dari kawasan paya bakau menghadapi kesukaran berikutan hujan lebat serta air laut pasang.
“Pasukan SAR berjaya membawa mayat itu keluar dan sampai di jeti nelayan Kampung Sampun Tebun pada jam 2.15 petang sebelum ia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.