
KUALA SELANGOR: Mayat wanita ditemukan dalam kereta yang berkunci di kawasan parkir Pantai Remis, Jeram, di sini awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 2 pagi dari anggota Unit Kereta Peronda (MPV).
“Mayat dijumpai dalam kereta Proton Saga berwarna kelabu dengan keempat-empat pintu berkunci dari dalam.
“Pintu kereta kemudian dibuka oleh anggota bomba untuk mengeluarkan mayat,” katanya menerusi kenyataan.
Azaharudin berkata, semakan mendapati mangsa dilaporkan hilang pada 31 Januari lalu bersabit laporan di Damansara.
“Kali terakhir wanita itu dilihat ahli keluarganya jam 10 pagi 29 Januari lalu.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal atau unsur jenayah. Mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat ,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, media melaporkan, mangsa dikenali Yong Jia Yein, 34, tidak dapat dihubungi selepas memandu kereta jenis Proton Iswara keluar dari kediamannya di Apartmen Pelangi Utama di Petaling Jaya, pada 29 Januari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.