HULU SELANGOR: Mayat seorang wanita warga asing ditemukan dalam sebuah rumah di Kampung Sungai Choh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 1.05 petang daripada jiran mangsa.
“Mangsa berusia 48 tahun meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi sakit jantung, kanser dan kencing manis.
“Wanita itu tinggal berseorangan selepas kematian suaminya sejak lapan bulan lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, ketika ini polis sedang menunggu laporan bedah siasat daripada Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu.
Katanya, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebaik tiba didapati rumah mangsa terkunci dan anggota bertugas membuka pintu sebelum menemukan mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.