comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat wanita terdampar di pantai disahkan lemas, tiada unsur jenayah

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat wanita di pantai dekat Taman Padang Temu Indah. – FOTO: NSTP

MELAKA: Mayat wanita warga emas yang ditemukan terdampar di pantai dekat Taman Padang Temu Indah, di sini, petang semalam disahkan mati akibat lemas tanpa sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata mayat wanita 69 tahun berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu ditemui seorang penduduk kira-kira jam 2 petang ketika pulang daripada solat Jumaat di kawasan berhampiran.

Katanya, pemeriksaan tubuh mendapati terdapat kesan kecederaan ringan di kepala dan pipi mangsa namun tiada sebarang identiti ditemui kecuali wang kertas berjumlah RM45 dan buku kecil.

“Tiada sebarang kesan pergelutan pada bahagian tangan dan badan mangsa dan hasil bedah siasat di Hospital Melaka malam tadi mendapati mangsa mati akibat lemas.

“Pada 11.08 malam tadi polis menerima panggilan telefon dari Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan memaklumkan seorang lelaki hadir memaklumkan si mati adalah isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal tanya lelaki berusia 77 tahun terbabit memberikan gambaran jelas berkaitan si mati termasuk menghantar melalui WhatsApp identiti wanita yang didakwa isterinya itu.

“Lelaki itu mendakwa isterinya pernah menjalani pembedahan kanser payu dara dan keluar rumah pada jam 7 pagi tanpa pengetahuannya dan tidak membawa barang atau beg selain turut meninggalkan nota ringkas memberitahu mahu ke Kedah atau Pahang bersama rakan untuk berjalan-jalan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini