comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat warga emas ditemui dengan kesan kecederaan

Foto hiasan

IPOH: Mayat seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kesan kecederaan di tubuh badan mangsa di sebuah rumah di Kampung Tersusun, Simpang Lima, Kerian, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, terdapat kesan luka potong dan tikaman pada telinga, leher serta pipi mangsa yang berusia 61 tahun.

Ujarnya, Polis Daerah Kerian menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat berkenaan pada jam 6.45 petang semalam.

”Mayat ditemukan dalam keadaan terbaring dalam bilik tidur dalam keadaan separuh bogel dengan kesan darah pada bantal, tilam serta dinding.

“Selain itu, terdapat kesan lebam pada kedua-dua lengan mangsa dipercayai akibat pergelutan dengan suspek dalam usaha mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk rumah mangsa berdasarkan kesan umpil pada tingkap dan tiga keping cermin ditanggalkan namun tiada barang berharga miliknya yang hilang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Punca kematian mangsa disebabkan luka tikaman pada bahagian leher.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran.

Loading...
Terkini