comscore
Tumpuan :
Nasional

MB Johor arah Ranhill SAJ buat persiapan rapi tangani isu bekalan air bersih

JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ diarah melakukan persiapan lebih rapi bagi menangani isu kekurangan bekalan air bersih yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihak terbabit perlu melakukan penambaikan terhadap langkah yang telah dilakukan sebelum ini.

Antara inisiatif yang telah dilakukan Ranhill SAJ ialah pengolahan sistem bekalan air loji rawatan air (LRA) Layang-layang telah mula beroperasi, pemasangan pam penggalak (Booster Pump) di Tangki Mengkibol, pengoperasian ‘Inline Injection’ dengan menggunakan lori tangki berkapasiti 42-45 tan sebagai bekalan air tambahan melalui pili bomba.

Selain manaik taraf sistem agihan (pemasangan paip mild steel bersaiz 450mm dan 500mm) sepanjang  1.4 kilometer ke tangki Layang-Layang dan cadangan alternatif Pam Poonton di Empangan Sembrong Barat untuk abstrak air mentah ke LRA Sembrong Barat bagi meningkatkan pengeluaran air terawat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri Machap berkata, selain itu, Ranhill SAJ juga perlu bersiap siaga untuk operasi menjelang Aidilfitri yang akan bermula pada 3 April 2024 hingga 17 April 2024.

Hingga kini sebanyak 27 lori tangki air dan 294 tangki air statik akan dipasang oleh pihak Ranhill SAJ di beberapa kawasan ‘hotspot’ seluruh Johor.

Datuk Onn Hafiz menambah, kerajaan negeri bersedia menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan penambahbaik demi memastikan bekalan air di Johor stabil terutama pada musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Cuaca panas sejak akhir-akhir ini menyebabkan paras air di beberapa empangan di negeri merosot.

Berdasarkan data yang dikeluarkan badan kawalselia air Johor (Bakaj) baru-baru ini, paras simpanan air di 7 buah Loji Rawatan Air (LRA) di Johor mencatat penurunan ketara dan dijangka sampai ke tahap kritikal, sekiranya cuaca panas berterusan.

Tiga empangan yang mencatat penurunan agak ketara ialah empangan Machap di Kluang, Empangan Gunung Ledang di daerah Tangkak, dan empangan Gunung Pulai 2 di daerah Pulai.

Turut mencatat penurunan  empangan Sembrong barat,  Congok, Pontian kecil dan Upper layang.

Semalam Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastuktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan akan melakukan catuan bekalan air bersih di beberapa daerah sekiranya tiada hujan hingga akhir bulan depan.

Malah kerajaan negeri juga bersedia menimbang cadangan untuk melakukan pembenihan awan sekiranya tiada hujan hingga akhir bulan depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini