comscore
Tumpuan :
Nasional

MB Johor bidas KPISM desak tangani isu di luar pintu masuk negara

 

Onn Hafiz Ghazi berkomunikasi dengan pengguna jalan raya ketika meninjau keadaan kaunter di Tambak Johor pada 25 Mac. Foto Facebook MB Johor.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) kerana meminta beliau menangani isu di luar pintu masuk negara.

“Apakah KPISM tidak mahu saya membantu menangani isu kesesakan di Tambak Johor yang melibatkan ratusan ribu orang setiap hari?” kata Onn Hafiz melalui laman Facebook beliau.

Onn Hafiz memuat naik kenyataan itu selepas Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh menerusi satu kenyataan awal menanyakan langkah Onn Hafiz yang kerap melawat pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Menurut Ajeet, walaupun langkah itu amat dihargai, Onn Hafiz perlu fokus kepada isu membabitkan orang ramai.

Antaranya, seperti isu perumahan rakyat Johor, kesesakan trafik di bandar Johor Bahru, kekurangan barangan subsidi seperti minyak masak dan beras tempatan, masalah kekerapan gangguan bekalan air di beberapa tempat, isu saliran di kawasan luar bandar, banjir dan isu membabitkan kumpulan B40.

Kesesakan di Tambak Johor.- Foto fail

Ajeet berkata beliau percaya banyak tempat di kawasan pedalaman yang masih belum dilawati oleh Menteri Besar itu tetapi beliau masih memberikan tumpuan kepada BSI dan KSAB.

Katanya, Onn Hafiz juga perlu memberikan perhatian kepada isu kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Skudai ke Ayer Hitam.

Beliau mendakwa lebuh raya itu kerap sesak kerana hanya mempunyai dua lorong berbanding baki laluan yang mempunyai tiga atau empat lorong ke Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Onn Hafiz meluahkan kekecewaan apabila 13 kaunter di lorong kereta di BSI tidak dibuka kepada orang awam hingga menyebabkan kesesakan.

Beliau dilaporkan telah memaklumkan perkara tersebut kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan amat berharap supaya isu itu tidak berulang lagi.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir petang semalam memaklumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan kemudahan serta sistem di dua pintu masuk laluan darat di Johor ditambah baik bagi menangani isu kesesakan di pintu masuk negara.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kelmarin (26 Mac) menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan isu terkini termasuk operasi imigresen dan pemprosesan trafik harian.

Menurut Baharuddin, baginda bertitah demikian dalam sesi menghadap sembah maklum berkaitan isu kesesakan di BSI dan KSAB, kelmarin.

Katanya, perbincangan mengenai pendekatan bersesuaian bagi mengatasi kesesakkan di kedua-dua laluan itu akan dilakukan bersama pegawainya dalam masa terdekat.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk berbincang dan mencari pendekatan, kaedah serta formula terbaik untuk mengatasi isu kesesakan di BSI dan KSAB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini, semalam.

Kelmarin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi  bagi mendengar isu-isu terkini membabitkan operasi di BSI dan KSAB.

Loading...
Terkini