comscore
Tumpuan :
Nasional

MB Johor minta kerja naik taraf di CIQ ditangguh

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menangguhkan kerja menaik taraf yang akan menyebabkan penutupan beberapa kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau memaklumkan kerja itu ditangguhkan sehingga cuti persekolahan akhir tahun berakhir.

Saya telah meminta supaya kerja-kerja ini ditangguhkan sehingga berakhirnya cuti persekolahan akhir tahun,”  katanya dalam catatan di Facebook.

Terdahulu, Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen BSI dalam kenyataan di Facebook memaklumkan beberapa kaunter zon bas dan laluan automatik atau sistem e-gate di BSI akan ditutup mulai esok hingga 15 Januari depan untuk kerja menaik taraf papan tanda.

Jelas unit berkenaan, kaunter Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) akan turut terjejas sepanjang tempoh berkenaan.

“Fasa pertama melibatkan kerja-kerja menaik taraf di laluan zon bas keluar dengan melibatkan kaunter manual 1 sehingga 4, laluan e-gate 1 sehingga 3 dan kaunter MDAC bermula esok.

“Fasa kedua melibatkan kaunter manual (11-18); laluan e-gate (1-6) pada 21 Disember manakala fasa ketiga melibatkan kaunter manual sahaja (3-12) pada 28 Disember,” menurut catatan di Facebook.

Unit tersebut memberitahu, bagi fasa pertama di laluan zon bas masuk pula melibatkan kaunter manual (1-4), laluan e-gate (1-3) dan kaunter MDAC bermula pada 28 Disember.

Fasa kedua di laluan zon bas masuk itu pula melibatkan kaunter manual (11-18) dan laluan e-gate (1-6) bermula 3 Januari 2023 sementara fasa ketiga hanya melibatkan kaunter manual (3-12) bermula 9 Januari.

Pihaknya turut memaklumkan permohonan kemudahan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) kali pertama diberhentikan buat sementara waktu atas sebab tertentu dan pembukaan semula akan dimaklumkan kemudian.

Sistem e-gate di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri digunakan warga asing khususnya Singapura bermula 20 Januari lalu.

Kebenaran penggunaan sistem e-gate itu memberi manfaat kepada 50,000 warga republik itu yang berulang-alik ke Johor untuk tujuan sosial.

Sementara M-Bike pula yang dilancarkan di BSI dan KSAB bagi memudahkan secara purata lebih 60,000 penunggang dan pembonceng motosikal rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja.

Loading...
Terkini