comscore
Tumpuan :
Nasional

MB sedia bantu siasatan SPRM berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu di Manjung

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa sidang media sempena Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di sini, hari ini.

Oleh: Kumaran Rajamoney

MANJUNG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar di negeri itu pada tahun 2002.

Ia susulan daripada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menjelaskan saksi-saksi termasuk dikalangan Exco kerajaan negeri dan petugas pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak ketika itu, akan dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Kalau mengikut kenyataan beliau (Tan Sri Azam), maka saya bersedia untuk memberikan kerjasama jika diperlukan. Saya telah berada dalam kepimpinan kerajaan negeri sebagai exco sejak 2004. Kalau ada keperluan bagi saya membantu siasatan, maka saya bersedia,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai implikasi kes itu ke atas tanah rizab Melayu, Datuk Seri Saarani menjelaskan, status tanah itu masih kekal meskipun kini dimiliki individu bukan Melayu.

“Tiada sebarang perubahan dari segi status tanah. Ia masih tanah rizab melayu cuma pemilikannya itu oleh orang bukan melayu. Kerajaan negeri bagaimanapun giat membuat penambahan tanah rizab ini.

“Kalau dibincang soal mengambil balik tanah itu, saya percaya ia melibatkan soal perundangan,” tambahnya.

Semalam, Tan Sri Azam menjelaskan pihaknya juga akan meneruskan penyiasatan termasuk minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa kepada kelulusan EXCO.

Untuk rekod, pada 30 April lalu media melaporkan, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu jabatan kerajaan negeri Perak sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu membabitkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, dalam daerah Manjung, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini