Tumpuan :
Nasional

MBK sita 40 ayam ternakan haram di taman perumahan

Foto: Ihsan MBK

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyita 40 ekor ayam yang diternak secara haram di sebuah taman perumahan di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman, berkata struktur reban dan sangkar besi yang dibina tanpa kebenaran oleh seorang penduduk turut dirobohkan dalam operasi itu.

Beliau menjelaskan tindakan penguatkuasaan diambil susulan tiga aduan diterima daripada penduduk sekitar mengenai gangguan kejiranan akibat penternakan ayam berkenaan.

“Sebelum ini, MBK sudah mengeluarkan notis untuk menghapuskan kacau ganggu terbabit tetapi hasil semakan dan susulan mendapati pemilik reban ayam berkenaan gagal mematuhi notis yang dikeluarkan.

“Oleh itu, pihak majlis melaksanakan operasi melupuskan ayam ternakan dan merobohkan struktur reban ayam terbabit mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah bahawa operasi itu melibatkan 38 anggota MBK dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Veterinar Pahang.

“Tujuan operasi ini dijalankan ialah memberi peringatan kepada masyarakat, khususnya individu, supaya tidak melakukan kacau ganggu dan melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini