comscore
Tumpuan :
Nasional

MBPP rampas 28 e-skuter sewa tanpa lesen

Sebanyak 28 e-skuter dirampas dalam operasi yang dijalankan MBPP di sebuah premis di Lebuh Armenian, Georgetown. FOTO: Ihsan MBPP

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggempur premis yang menjalankan perniagaan sewa e-skuter tanpa lesen di kawasan bandar raya ini, semalam.

Dalam operasi terhadap premis di Lebuh Armenian, sebanyak 28 e-skuter dirampas.MBPP dalam kenyataan di Facebook berkata, operasi dilakukan berdasarkan risikan dan pemantauan berterusan oleh Jabatan Pelesenan dan Pasukan Risikan dan Operasi Jabatan Penguatkuasaan.

Hasil risikan mendapati premis terbabit berselindung di sebalik kedai sewaan basikal dan menawarkan khidmat sewa e-skuter kepada orang ramai.

“Dalam serbuan itu, MBPP merampas 28 e-skuter yang dijadikan sebagai barang perniagaan.

“Semasa risikan dan pemantauan sebelum operasi ini dijalankan, sebuah e-skuter terbabit dalam satu kemalangan kecil dengan melanggar kereta orang awam.

“Malah terdapat beberapa kenderaan e-skuter ditunggang secara berbahaya dan melulu di jalan raya yang dipenuhi dengan kenderaan,” menurut kenyataan.

MBPP berkata, pengusaha sewa kenderaan mikromobiliti itu juga didapati tidak membuat kawalan ketat dan tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap pemanduan e-skuter yang disewa kepada pengguna.

Terdahulu, keseluruhan sebanyak 69 e-skuter dirampas dalam dua operasi berasingan yang dijalankan MBPP baru-baru ini dengan serbuan terhadap tiga premis disyaki menjalankan perniagaan tanpa lesen sah oleh pihak berkuasa tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini