comscore
Tumpuan :
Nasional

MCMC akui keadaan buruk jalan Magandai

Pacuan empat yang digunakan rombongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah menempuh detik sukar dan mencabar untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai, kira-kira 70 kilometer dari Kota Marudu bagi melaksanakan pemasangan peranti telekomunaksi.- Foto: NSTP

KOTA MARUDU: Meskipun dengan menggunakan kenderaan empat roda, kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah mengakui terpaksa mengambil masa kira-kira 8 jam perjalanan untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai yang terletak hanya 70 kilometer dari bandar ini.

Rombongan itu yang turut disertai kumpulan pegawai dan kakitangan Sabah Net serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Marudu menggunakan 10 kenderaan empat roda bagi tujuan itu.

Mereka ke SK Magandai bagi memasang peranti telekomunikasi di sekolah itu.

Difahamkan konvoi itu memulakan perjalanan dari pekan Tandek kira-kira jam 7.30 pagi dua hari lalu.

“Seperti dijangka perjalanan ini bukan mudah. Hampir semua kenderaan kami tersangkut beberapa kali di jalan becak dan berlumpur. Beberapa kenderaan hilang kawalan dan terbalik,” kata SKMM dalam satu kenyataan.

Sebaik tiba, kakitangan Sabah Net segera memasang peralatan telekomunikasi di sekolah itu.

Program dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya.

Menurut kenyataan itu, peranti itu bagi memberi kemudahan kepada warga sekolah dan penduduk sekitar untuk berhubung dengan dunia luar serta memperoleh maklumat secara atas talian.

Perjalanan keluar pula mengambil masa enam jam dengan rombongan agensi kerajaan terbabit berjaya keluar dari Magandai selepas jam 11 malam pada hari sama.

Sebelum ini, penduduk Kampung Magandai terpaksa mendaki Bukit Tamu yang terletak sejauh lapan kilometer dari perkampungan itu setiap kali ingin mendapatkan capaian internet.

Bagi yang ingin ke pekan Kota Marudu, perjalanan adalah dengan berjalan kaki dan memakan masa selama dua hari.

Ini terpaksa dilakukan apabila mereka ingin menguruskan persekolahan anak, selain membawa mereka pulang kampung ketika musim cuti persekolahan.

Bagi yang masih ingin menaiki kenderaan, mereka terpaksa membayar tambang antara RM600 hingga RM700 setiap kali mereka keluar pekan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini