Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis hari ini susulan penjualan gula-gula dengan kesan mengkhayalkan mirip dadah di platform e-dagang, TikTok.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan tersebut.
“Pihak MCMC akan menghubungi pihak TikTok untuk mendapat tahu apakah yang telah membolehkan akaun seperti ini beroperasi untuk satu jumlah yang kita tidak tahu berapa lama tetapi mereka boleh menjual dadah dalam platform TikTok,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Sebelum ini, gempar di laman X mengenai dakwaan gula-gula dengan kesan mengkhayalkan mirip dadah dijual secara terang-terangan di TikTok.
Menurut individu yang membuat pendedahan berkenaan, ramai telah terpedaya dan terjebak membuat pembelian kerana menganggap ia hanya gula-gula biasa seperti lolipop.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, TikTok telah mengambil tindakan dengan memadamkan akaun berkenaan dan tidak lagi boleh diakses di negara ini.
“Saya telah minta pihak MCMC untuk meluaskan siasatan dan juga carian untuk mengenal pasti mana-mana pihak lain yang mungkin cuba menjual dadah seperti ini di platform bukan hanya dalam TikTok tapi juga platform-platform yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, pihaknya akan memanjangkan isu daftar masuk hotel dan inap desa mulai jam 4 petang kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ujar beliau, kerajaan mengambil maklum mengenai keluhan rakyat khususnya di media sosial membabitkan perkara berkenaan.
“Walaupun isu ini tidak dibincangkan di dalam mesyuarat (Jemaah Menteri) hari ini, saya akan panjangkan kepada MOTAC untuk (mereka) memberi maklum balas,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel dilaporkan berkata, pemilik hotel dan inap desa bebas menetapkan masa daftar masuk kerana ia tidak termaktub di dalam undang-undang perhotelan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.