Tumpuan :
Nasional

MCMC kesan penuntut IPTA jual video lucah adegan sendiri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikesan menjual dan memuat naik video lucah adegan sendiri bersama wanita dikenali di aplikasi X.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya merakam percakapan lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan awal dilakukan mendapati kegiatan suspek itu bermula sejak 2021 dengan memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama.

“Modus operandi suspek kemudian berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita dikenali hingga memperoleh lebih 100,000 pengikut di platform X,” katanya.

Menurutnya, suspek menjadikan penjualan video lucah sebagai sumber pendapatan apabila memperoleh RM3,000 sebulan dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap video.

Katanya, kegiatan lelaki terbabit terbongkar hasil pemantauan dan risikan dijalankan oleh MCMC berdasarkan aduan awam.

“Hasil pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, pasukan penguatkuasaan MCMC menyita satu telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang digunakan untuk memuat naik kandungan itu bagi membantu siasatan.

“Turut diambil keterangan adalah rakan suspek iaitu seorang wanita yang juga penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS),” katanya.

Menurutnya, tindakan menjual video lucah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai digesa untuk melaporkan sebarang kegiatan menyebar dan menjual kandungan lucah di sebarang platform

media sosial kepada MCMC untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini