comscore
Tumpuan :
Nasional

MCMC tidak terima aduan pemasaran produk GISBH di media sosial

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu pemasaran produk perniagaan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di platform media sosial.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan sekiranya ia melanggar isu kepenggunaan.

“Kebiasaannya sekiranya KPDN melihat ada keperluan menurunkan apa-apa kandungan atau isu dari segi hak cipta dan kepenggunaan, mereka (KPDN) melalui Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, boleh meminta penyedia perkhidmatan Internet menurunkan (kandungan).

“Tapi setakat ini saya tidak menerima aduan melalui MCMC tentang perkara tersebut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Pada 11 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Global dengan menyelamatkan lebih 300 kanak-kanak dari 20 rumah perlindungan yang mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Lanjutan daripada itu, sebanyak 96 akaun milik syarikat terlibat eksploitasi kanak-kanak, Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dibekukan membabitkan aset bernilai lebih RM581,000.

Beberapa individu berkaitan GISBH turut didakwa di mahkamah di Negeri Sembilan dan Selangor atas pertuduhan amang seksual ke atas kanak-kanak.

Media semalam melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH bersama isteri dan anaknya antara 19 individu direman tujuh hari sehingga Rabu depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini