comscore
Tumpuan :
Nasional

MDA rampas 143,284 unit kanta lekap tidak berdaftar bernilai RM700,000

Foto hiasan

CYBERJAYA: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) merampas 143,284 unit kanta lekap dianggarkan bernilai RM700,000 dari sebuah premis di pusat beli-belah borong fesyen di Jalan Gelugor, Pudu di ibu negara pada 20 Mei lepas.

Serbuan kali kedua terhadap premis sama dilakukan 19 pegawai penguat kuasa MDA hasil aduan awam itu mendapati berlaku penjualan dan pengedaran kanta lekap tidak berdaftar oleh syarikat tanpa lesen yang sah.

Ketua Eksekutif Pihak MDA, Dr P. Muralitharan berkata, lesen perniagaan syarikat berkenaan telah dibatalkan serta-merta dalam serbuan pertama terhadap premis berkenaan pada November tahun lepas atas kesalahan sama, yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Hasil maklumat yang diterima daripada whistleblowers mendapati penjualan masih berlaku dan dipercayai produk itu dibawa dari Korea Selatan secara haram ke negara ini dan tidak berdaftar dengan MDA.

“Syarikat milik warga tempatan itu beroperasi sejak tiga tahun lepas denganmenjual produk kanta lekap serta cecair pencuci kanta lekap pelbagai jenama termasuk yang berdaftar dengan MDA dan produk tidak berdaftar. Itu antara modus operandi untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di pejabat MDA di sini hari ini.

Dr Muralitharan berkata syarikat terbabit didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) antaranya tidak mendaftar peranti perubatan dan tiada Lesen Establismen yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, beliau berkata belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih dijalankan selain dalam proses menjejaki ejen yang menjual produk berkenaan secara dalam talian.

“Produk ini tidak mempunyai sebarang label ketika dibawa masuk dan mereka melekat sendiri pelekat label berjenama serta menjualnya antara RM9 hingga RM10 kepada orang ramai, jauh lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Pada masa sama, Dr Muralitharan tidak menolak kemungkinan pembeli kanta lekap dari premis berkenaan menghadapi masalah mata seperti mata menjadi merah, berair atau gatal dan lebih serius lagi kondisi kornea mata koyak.

Justeru, justeru beliau meminta agar mereka tampil mendapat rawatan sepatutnya dan membantu siasatan pihak MDA.

Orang ramai dinasihati sentiasa menyemak status pendaftaran sesuatu peranti perubatan dan lesen Establismen syarikat yang membekalkan peranti perubatan dengan melayari https://mdar.mda.gov.my/ sebelum membuat sebarang pembelian.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini