Tumpuan :
Nasional

MDL pasang CCTV pantau ‘kawasan pencemaran’ 

KUALA LIPIS: Pengguna di laluan utama Jalan Lingkaran Tengah (CSR) di antara Kuala Lipis dan Merapoh, di sini, yang menyangka akan terlepas jika membuang sampah, sebaliknya lebih baik berhati-hati.

Ini kerana Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di ‘kawasan pencemaran’ sepanjang laluan berkenaan.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid, berkata pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendidik pengguna jalan, terutama mereka yang melancong semasa cuti sekolah dan cuti perayaan, termasuk mengeluarkan peringatan serta menyediakan tong sampah, namun dianggap kurang berkesan.

“Kami memasang kamera itu di lokasi-lokasi strategik pada 1 Jun lalu. Setakat ini, terdapat penurunan ketara dalam pencemaran di tepi jalan. Masih ada lagi pengguna kenderaan membuang sampah, tetapi tidak seburuk seperti sebelum ini.

“Kamera dipasang di lokasi-lokasi yang sebelum ini dipenuhi sampah termasuk botol plastik, bekas polistiren dan tin minuman aluminium, malah ada membuang botol berisi air kencing.

“Nampaknya pemandu sedar da kamera di kawasan tertentu. Kami kini boleh mengesan mereka yang buang sampah, kenal pasti nombor pendaftaran kenderaan. Inisiatif ini membantu mengubah tingkah laku masyarakat (mengurangkan pembuangan sampah),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharudin berkata, CCTV terbabit dipasang dengan kerjasama Majlis Daerah Lipis (MDL) yang mempunyai akses kepada rakaman.

“Mereka yang tertangkap mungkin dikenakan denda oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi.

April lalu, tular kejadian pengguna CSR, laluan yang tidak mempunyai hentian rehat dan stesen minyak, membuang sampah di sepanjang laluan itu pada musim perayaan Aidilfitri.

Kejadian itu memaksa SWCorp meletakkan lapan tong sampah di kawasan strategik sepanjang jalan berkenaan, selain memasang kain rentang atau notis untuk mengingatkan pengguna jalan supaya membuang sampah di tong sampah yang disediakan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan dua hentian rehat dan rawat, iaitu di antara Bentong dan CSR Raub, selain berhampiran Kampung Kechau Tui di Lipis

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini