Tumpuan :
Nasional

Medan selera warga asing diserbu, 58 orang ditahan

FOTO: Ihsan JIM

PUCHONG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah premis medan selera yang dipercayai diusahakan oleh warga asing dari Myanmar dan Bangladesh di atas tanah persendirian yang berkeluasan 1.6 hektar di Pusat Bandar Puchong, di sini, semalam.

Malah mereka berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh serta pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dalam satu operasi bersepadu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, medan selera itu diserbu oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM serta dibantu oleh pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)serta Bahagian ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurutnya, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama satu minggu.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 95 pegawai pelbagai pangkatdiatur gerak ke premis itu dan memeriksa seramai 102 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan warganegara tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 58 warganegara asing yang terdiri daripada 31 lelaki dan 10 wanita warganegara Myanmar, dua lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia, sembilan lelaki warganegara Bangladesh, empat lelaki warganegara India dan seorang lelaki warganegara Vietnam ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini