Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Media diharapkan dapat menjadi medium dalam menyampaikan transformasi perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, biarpun pihaknya telah melakukan pelbagai penambahbaikan perkhidmatan, namun banyak agenda transformasi yang dilaksanakan JIM tidak sampai kepada masyarakat.
“Kadang dalam Jabatan Imigresen ini banyak perkara perkara yang kita laksanakan kepada sampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan sebagainya, tetapi biasanya apa yang di ketengahkan media itu adalah perkara yang negatif, perkara-perkara yang tidak baik berkaitan dengan Imigresen.
“Untuk hari ini kita bincang bagaimana Media Prima boleh bantu Jabatan Imigresen untuk ketengahkan perkara baik yang dilaksanakan oleh Imigresen, kerana kita laksanakan pelbagai informasi penggunaan teknologi yang moden dan sebagainya,” katanya ketika kunjungan hormat di Balai Berita Bangsar, hari ini.
Ujarnya pelbagai pembaharuan dilaksanakan dalam memantapkan mutu perkhidmatan JIM kepada masyarakat, termasuk pengurangan tempoh mendapatkan pasport yang kini boleh disiapkan dalam masa 15 minit.
“Ini satu perkara yang mungkin orang nampak yang dia beratur panjang dan sebagainya, tetapi dia tak nampak apa yang kita buat, sebenarnya kita dah pun berubah daripada proses yang lama kepada satu tempoh yang cukup singkat untuk membaharukan pasport mereka.” katanya.
Dalam lawatan hari ini, beliau turut mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Media Prima Berhad selama lebih dua jam.
Datuk Zakaria bersama rombongannya turut berkesempatan melawat operasi Bilik Berita, selain berkunjung ke studio berita.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr. Syed Hussian Syed Aljunid; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Farrah Naz Abd Karim; dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen, Azhari Muhidin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.