comscore
Tumpuan :
Nasional

Media Prima serah lebih RM500,000 kepada MyCare untuk Palestin

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz (dua kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan (dua kanan). – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (MPB) melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menyerahkan sumbangan RM524,551.75 kepada Humanitarian Care Malaysia (MyCare).

Sumbangan terbabit diharap dapat membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin melalui inisiatif kemanusiaan MyCare di Gaza.

“MPB melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sentiasa komited membantu rakyat dan mangsa kekejaman di Palestin dengan kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman luas dan mempunyai kepakaran untuk menjalankan misi di wilayah itu.

“MPB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang menjayakan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis penyerahan replika cek sumbangan di Anjung Riong, Balai Berita, hari ini.

Penyerahan itu disempurnakan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan.

Sementara itu, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata sumbangan itu dapat digunakan untuk menampung keperluan kritikal penduduk Palestin.

“Banyak barangan keperluan dapat diberikan dan dan terima kasih kepada sokongan daripada dana Media Prima, kami akan agihkan untuk keperluan perubatan, merangkumi ubat-ubatan dan barangan lain seperti barangan pakai buang.

“Baki sumbangan akan digunakan untuk membeli barangan keperluan makanan asas seperti gandum, beras, barangan dalam tin,” katanya.

Dr Fauziah memberitahu MyCare sedang giat untuk mendapatkan ambulans dan pengangkutan lain bagi kegunaan penduduk Gaza dalam memastikan akses kepada bantuan perubatan di Mesir.

“Pengerusi dan ketua pegawai eksekutif kami mengambil pendekatan untuk melawat sendiri kilang di mana van yang diambil itu akan diubah menjadi ambulans. Mereka mengesahkan bahawa dua ambulans yang kami berikan itu akan siap pada 1 Januari depan.

“Diharapkan berlakunya gencatan senjata, dan insya-Allah kami akan mempercepatkan penempatan kedua-dua ambulans berkenaan,” katanya.

Dr Fuziah turut memaklumkan pihaknya akan membeli 500 khemah dan selimut untuk digunakan sebagai tempat perlindungan sementara, terutama semasa musim sejuk.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima melalui akaun Bank Muamalat 14010008844715 atau Maybank 564276510331.

Loading...
Terkini