comscore
Tumpuan :
Nasional

Mekanik maut dirempuh lori

Keadaan lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan sehingga mengorbankan seorang mekanik di KM 434.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran susur masuk tol Sungai Buaya, petang tadi. FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Seorang mekanik yang sedang membaiki lori rosak maut dirempuh dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 434.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran susur masuk tol Sungai Buaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.45 petang tadi, mangsa berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, lori itu yang dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Kuala Lumpur mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, nahas membabitkan lori dua tan, kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm dan lori Roll-On-Roll-Off (Roro).

“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan penumpang Mitsubishi Storm sedang membaiki lori Roro yang rosak di lokasi kejadian.

“Tiba-tiba, datang lori dua tan dipandu lelaki berusia 39 tahun dinaiki bersama dua kelindan disyaki hilang kawalan lalu melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda itu yang diletak di belakang lori rosak,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata mangsa yang berada di hadapan kenderaannya dilanggar dan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Manakala pemandu lori dua tan cedera di kepala dan badan serta dua kelindannya cedera ringan.

“Pemandu lori dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung nahas ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini