comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mekanisme, tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dimaklum dalam masa terdekat – PM

 


KUALA LUMPUR: Mekanisme dan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel akan dimaklumkan pada masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerana beliau sudah pun memberikan gambaran mengenainya dan kini hanya perlu tindakan susulan.

“Ada orang tanya mengapa? Bukan semua Perdana Menteri yang lakukan. Saya beri gambaran dan kerangka besar, kemudian akan ada tindakan susulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Era Pasca Normal MADANI di sini, hari ini.

Dalam Perutusan Negara yang disampaikan Selasa lepas, Datuk Seri Anwar berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Terdahulu Perdana Menter meluangkan masa melawat Pameran Era Pasca-Normal MADANI, yang diadakan di Berjaya Times Square di sini.

Beliau yang tiba di tapak pameran pada jam 11 pagi, meluangkan masa kira-kira sejam untuk melihat pameran menampilkan karya enam artis tempatan yang mengetengahkan ciri tonggak utama konsep MADANI iaitu Kemampanan, Ihsan, Hormat, Daya Cipta, Kesejahteraan dan Keyakinan.

Antara artis terlibat ialah pengukir Liu Cheng Hua yang menampilkan karya ‘Golden Shafts’, sejenis peralatan perlombongan emas diperbuat daripada sumber buluh tempatan yang diguna meluas di Raub, Pahang pada 2014.

Turut dipamer ialah hasil seni lukisan bertajuk Human Needs Human, Panorama dan Aku Bukan Pendatang dari Stephen Menon, seorang pelukis dan pembuat cetakan yang terkenal dengan teknik inovatif dan karya yang merangsang pemikiran.

Turut hadir ke pameran itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk R Ramanan, Pengarah Centre for Postnormal Policy and Futures Studies (CPPFS), Professor Ziauddin Sardar serta Penolong Pengarah CPPFS, Scott Jordan.

Pameran bermula hari ini hingga 10 Nov, merupakan hasil kerjasama antara Perdana Menteri dan CPPFS manakala Berjaya Times Square pula merupakan penaja dan penganjur program.

Kemasukan ke pameran itu adalah percuma, bersesuaian dengan matlamatnya untuk menyebarkan kesedaran tentang zaman pascanormal yang dilalui rakyat dan bagaimana Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, berusaha menggabungkan pengalaman politik dan keazamannya untuk melakukan pembaharuan, dengan mengambil kira pandangan kajian masa depan dan teori masa pascanormal.

Ini juga bagi memastikan kerangka konsep MADANI dapat dibangunkan, sekali gus membantu negara mengharungi arus badai ke hadapan ke arah masa depan yang lebih cerah.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini