comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Melaka Bila Larut Malam’ tarik lebih 10,000 pengunjung

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyantuni pengunjung di sekitar Banda Hilir, sempena Program Melaka Bila Larut Malam, malam tadi. – FOTO: NSTP

MELAKA: Program Melaka Bila Larut Malam yang dianjurkan kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bermula malam tadi akan menampilkan kelainan pada setiap kali hari penganjurannya setiap bulan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia termasuk memperkenalkan pakej serta aktiviti terbaharu yang lebih unik serta menarik sebagai langkah untuk menggamit kedatangan pengunjung serta pelancong ke beberapa lokasi pelancongan terpilih sempena program terbabit.

Beliau berkata, sudah sampai masanya keunikan sektor pelancongan yang tersembunyi itu `dipecahkan’ menerusi penganjuran program seperti Melaka Bila Larut Malam terbabit yang sekali gus mampu menepati sasaran kedatangan 18.7 juta pelancong ke negeri itu menjelang akhir tahun ini.

“Sehingga Disember kelak, kita mempunyai pelbagai program yang akan diperkenalkan, begitu juga pakej baharu untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Melaka.

“Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa pengusaha hotel, inap desa serta pemain industri pelancongan lain akan mendapat faedah daripada penganjuran aktiviti yang kita anjurkan ini,” katanya selepas meninjau suasana penganjuran Melaka Bila Larut Malam di sekitar Banda Hilir, di sini malam tadi.

Program Melaka Bila Larut Malam diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan bertujuan untuk memperkenalkan keunikan dan keindahan Melaka pada waktu malam.

Selain menawarkan harga tiket yang jauh lebih murah, tempoh operasi di beberapa lokasi pelancongan serta premis perniagaan yang dilanjutkan sehingga jam 2 pagi itu dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan serta sektor ekonomi khususnya dalam kalangan usahawan kecil tempatan.

Ab Rauf berkata, Melaka Bila Larut Malam tidak hanya memfokuskan ketibaan pelancong semata-mata, sebaliknya dengan pelbagai promosi serta tawaran harga tiket serendah RM10 itu secara tidak langsung dapat merancakkan pendapatan peniaga kecil dan serta penggiat industri pelancongan di kawasan sekitar.

Beliau berkata, sebanyak enam lokasi pelancongan di Melaka yang terpilih sempena program Melaka Bila Larut Malam itu dikunjungi lebih 10,700 pengunjung.

Katanya, Zoo Melaka, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari antara lokasi mendapat sambutan luar jangka ketika kali pertama program baharu itu diadakan, manakala tiga yang lain iaitu empat muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Muzium Penjara serta Panggung Bangsawan Melaka turut menerima kedatangan pengunjung tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini