comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka Larang Pegawai Kerajaan Beri Kenyataan Di Media

Oleh Yusri Sahat

MELAKA: Semua pegawai terutama ketua jabatan di negeri ini dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media mahupun di platform media sosial.

Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tindakan seperti itu boleh memalukan kerajaan.

Jelas beliau, dalam menghadapi cabaran dunia digital ketika ini setiap pegawai perlu bijak dan sensitif sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan sebarang salah faham.

“Saya menegaskan dan memperingatkan semua warga kerja perkhidmatan awam negeri Melaka untuk sentiasa berintegriti dan berhemah semasa menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“Peraturan sedia ada jelas menerangkan pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan imej kerajaan,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan pentadbiran Kerajaan Negeri dan pelancaran Tabung Hari Pahlawan 2022 peringkat Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Teks bacaannya itu dibacakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, beliau berkata arahan itu sejajar dengan arahan Kerajaan Persekutuan menerusi surat edaran yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam di bawah kelakuan dan tatatertib 1993.

“Perkara pertama yang saya sentuh pada pagi ini amat penting demi tidak memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang apa-apa isu.

“Kesemua prinsip yang saya sebutkan ini adalah bertujuan untuk mempertahankan prinsip ‘neutrality’ dan ‘impartiality’ dalam perkhidmatan awam,”katanya.

Tambah beliau, semua pegawai awam terutamanya di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan telus dan profesional.

Ketua-ketua jabatan katanya, perlu memberi penekanan yang serius terhadap perkara itu serta perlu memaklumkan kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tata etika yang telah ditetapkan

Loading...
Terkini