comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka sambut baik Anwar PM ke-10

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kerajaan Melaka menyambut baik pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pelantikan itu tidak mengubah pentadbiran kerajaan negeri yang masih ditadbir Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin dan percaya Majlis Raja-raja kita telah buat keputusan yang baik dan tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Anwar.

“Kita akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar jika BN ada dalam kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat negeri di Dewan Putra Putri Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Durian Daun, di sini hari ini.

Ditanya sama ada pelantikan Perdana Menteri ke-10 daripada PH itu akan membawa kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri, tegasnya, Melaka akan kekal sebagai negeri BN selepas menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan itu jelasnya, tidak akan menjejaskan pentadbiran Melaka.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, BN Melaka gagal memenangi di semua enam kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, BN berjaya memperoleh majoriti lebih dua pertiga apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRN 20 November tahun lalu.

Loading...
Terkini