MELAKA: Kerajaan Melaka menyasarkan 70 peratus daripada 186 hektar Taman Teknologi Jerman (GTP) yang dalam pembinaan di Ayer Keroh, di sini, diisi pelabur dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ketika ini, kerajaan negeri menerima kelulusan teknikal bagi pembangunan GTP dan pembinaan infrastrukturnya dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
“Justeru, kerajaan negeri akan giat mengadakan promosi ke Jerman selepas ini bagi memastikan hasrat itu tercapai, sekali gus membuka kira-kira 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
“GTP terletak kira-kira dua kilometer dari tol Ayer Keroh dan kawasan berpotensi untuk pelabur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Deutscher Brand Summit 2024 di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Buruh dan Pelancongan Negeri Baden-Württemberg dari Jerman, Dr Nicole Hoffmeiser-Kraut dan EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Ab Rauf berkata, pembukaan GTP selaras hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka hab pelaburan syarikat berteknologi tinggi serta penggiat industri fesyen dari Jerman.
Beliau berkata, kerajaan negeri mewujudkan inisiatif Penggalak Perindustrian Melaka (MIB) bagi mempercepatkan lagi proses kelulusan permohonan pelabur atau pemaju yang ingin membuat pelaburan di negeri ini.
“GTP seluas 186 hektar ini akan menjadi ikon kepada industri baharu di Melaka,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.