
KUALA PILAH: Mandat yang diberikan oleh rakyat akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan demi memastikan kesejahteraan Negeri Sembilan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata lima tekad yang digariskan dalam Malaysia Madani diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi panduan pihaknya dalam memacu pembangunan negeri.
“Tiada kawasan yang akan dipinggirkan, inklusiviti akan menjadi paksi kepimpinan rakyat dan pemimpin.
“Semua inisiatif dalam Aspirasi Perpaduan akan diterjemahkan dalam tempoh kepimpinan bagi membangun dan memajukan lagi negeri ini di samping memelihara adat warisan yang disanjung tinggi,” katanya.
Aminuddin yang dilantik semula sebagai Menteri Besar berkata, beliau berikrar akan melaksanakan tugas dengan penuh iltizam, integriti dan ikhlas.
Walaupun tugas yang dipertanggungjawabkan itu bukan mudah, apa lagi ia membawa harapan rakyat Negeri Sembilan atas Aspirasi Perpaduan yang dijanjikan, namun beliau berikrar akan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.
“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan dibentuk untuk mencapai kemajuan negeri, kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu dan dilantik semula ke jawatan Menteri Besar.
PH memenangi 17 daripada keseluruhan 36 kerusi Dun pada PRN berkenaan dengan ahli gabungan itu DAP menang 11 kerusi, PKR (5) dan Amanah (1) manakala Barisan Nasional (BN), menang 14 kerusi.