comscore
Tumpuan :
Nasional

Menara KL diurus syarikat usahasama tempatan selama 20 tahun

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju Menara Kuala Lumpur (Menara KL) diurus sebuah syarikat usahasama tempatan membabitkan LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd bagi konsesi selama 20 tahun.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan syarikat itu diputuskan kerajaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) daripada lima pembida melalui proses permintaan untuk cadangan (RFP).

“Syarikat LSH Best Builders Sdn Bhd ini telah didapati memenuhi syarat-syarat dan tidak ada apa-apa isu telah dilakukan.

“Semua saringan dari segi integriti dan tidak timbul isu dan sekarang proses seterusnya adalah pengeluaran surat kepada syarikat tersebut,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, syarikat yang ingin terlibat dalam proses tender tersebut perlu mempunyai keupayaan kewangan sekurang-kurangnya RM18 juta.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, makumat terperinci berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL akan diterbitkan oleh UKAS.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial pada penghujung tahun 2022 apabila orang ramai mempersoalkan keputusan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober tahun sama.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun bagi membantu siasatan pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.

Pada 5 April 2023, Syarikat Hydroshoppe dan pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbabit dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussain dan Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Hydroshoppe melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid Shaikh secara rasuah menawarkan wang RM500,000 setahun selama tempoh itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, bagi faedah Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Abdul Hamid Shaikh pula berdepan tuduhan menawarkan kepada individu sama suatu suapan iaitu RM500,000 dalam tempoh sama, sebagai dorongan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini