comscore
Tumpuan :
Nasional

Menjelang 2050 berat sisa plastik di lautan akan mengatasi berat ikan 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Azmi Nik Ahmad melancarkan Program Jelajah Kelestarian Alam Santuni Golongan Belia sempenan sambutan World Ocean Week (WOW) di Universiti Malaysia Terengganu.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA NERUS: Dunia berdepan masalah lambakan sisa plastik serta sampah dan jika tidak dikawal mampu mencemarkan lautan sekaligus membunuh ekosistem marin.

Bersempena World Ocean Week (WOW) 2024, satu Pertubuhan Lautan Mampan Malaysia (SOA) diwujudkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Ia bertujuan menggalakkan komuniti tempatan untuk menyokong lautan bebas sampah dengan lebih menyedari kesan pencemaran sisa plastik dan bagaimana ia boleh merosakkan alam semula jadi serta manusia itu sendiri.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Azmi Nik Ahmad, berdasarkan kajian yang diperolehi, menjelang 2050 berat sisa plastik di lauatan akan mengatasi berat ikan.

Pihaknya ketika ini sedang mengkaji undang-undang bersesuaian bagi mengurangkan penggunaan plastik susulan masalah pencemaran bahan tersebut di negara ini.

Langkah itu penting bagi memastikan masalah pencemaran plastik dapat ditangani secara lebih berkesan berikutan ia dijangka mencapai tahap kritikal dengan jumlah sampah yang banyak terdapat di laut.

“Sebab itu kita tengah tengok apakah satu dasar boleh dibuat. Kita sudah ada hala tuju ke arah ‘zero single use plastic’ dan juga ‘sustainable plastic road map.

“Jadi kita nak tengok adakah boleh buat satu perundangan di peringkat nasional untuk kita kurangkan sisa plastik atau ‘Towards Zero Single Use Plastics’ “, ujarnya.

Sementara itu jelasnya, lambakan sampah di lautan juga berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab orang ramai membuang sampah ke sungai atau laut.

Malah pihaknya turut mengesan tindakan kontraktor kerja pembersihan yang sengaja membuang sampah di dalam sungai sebelum ianya hanyut ke lautan.

“Sampah ini datang dari pelbagai sumber, satu orang buang secara tidak bertanggungjawab atau individu yang pergi berkhemah dia sendiri buang sisa tersebut.

“Satu lagi kadang-kadang ada jugak kartel yang sepatutnya kontraktor yang patut kutip sampah buang ke pusat di land field yang berdaftar dia nak jimat minyak buang tepi sungai atau tempat tersorok itu pun banyak berlaku itu cabaran yang kita hadapi”, ujarnya.

Nik Azmi Nik Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Jelajah Kelestarian Alam Santuni Golongan Belia sempenan sambutan World Ocean Week (WOW) di Universiti Malaysia Terengganu.

Sambutan WOW merupakan manifestasi tanda sokongan UMT setiap tahun terhadap usaha untuk memberi kesedaran global ke peringkat lokal dan komuniti setempat berkaitan kepentingan menjaga kelestarian sumber laut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini