Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengenal pasti tiga cabaran utama yang menebal dalam sektor awam yang menuntut penambaikan segera dilakukan.
Menurut beliau, hasil pemerhatiannya sejak menerima watikah pelantikan jawatan itu pada bulan lalu, cabaran pertama adalah mentaliti ‘silo’ dan birokrasi yang masih kuat mengakar dan berumbi dalam sesetengah agensi.
“Puncanya sebab ada perasaan ‘superior’ atau rasa diri berkuasa dan lebih hebat daripada orang lain. Kononnya, kuasa mutlak ialah milik agensi itu. Jadi, nak luluskan satu-satu projek pembangunan itu, kena lalu proses yang melibatkan semua kementerian dan agensi ini.
“Betul, masing-masing ada fungsi dan peranannya. Namun, sewajarnya itu bukan alasan untuk kita mengambil masa yang lama dan panjang untuk memproses satu-satu projek
sehingga menjadi asbab projek tersebut tidak dapat disiapkan ikut tempoh yang dirancang.
“Akhirnya, ekpektasi pemegang taruh dan pelanggan tidak dapat dipenuhi,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN, di sini hari ini.
Jelasnya, masa adalah kos bagi sektor swasta dan pelanggan yang mana setiap masa yang dilewatkan sama ada sengaja atau tidak adalah beban kos yang perlu ditanggung oleh mereka.
Tan Sri Shamsul Azri dilantik sebagai KSN ke-16 berkuat kuasa 12 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, cabaran kedua adalah penyampaian perkhidmatan yang masih menggunakan kaedah lama, kurang efektif dan tidak berdaya saing.
Beliau berkata, ia selari laporan oleh Biro Pengaduan Awam yang menyatakan bahawa kebanyakan aduan yang diterima dalam tahun 2024 adalah berkenaan kegagalan memenuhi ekspektasi pelanggan, aduan mengenai kemudahan dan infrastruktur awam serta penguatkuasaan yang lemah.
“Kita bercakap tentang teknologi yang meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, tetapi dalam masa yang sama masih terdapat juga rungutan daripada pelanggan – Kerajaan ini lambat, Kerajaan ini tak prihatin, kaunter ada sepuluh, yang buka hanya satu dan macam-macam lagi.
“Untuk ini, seperti lawatan mengejut saya ke kaunter JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Putrajaya baru-baru ini, saya akan meneruskan lawatan mengejut ini di seluruh negara terutama agensi barisan hadapan tanpa kelibat mana-mana pegawai kanan.
“Ia bukan bertujuan untuk mencari salah atau mengejar populariti, tetapi kerana saya percaya sebagai KSN, adalah satu amanah kepada saya untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya.
Ujarnya, setiap ketua jabatan perlu mengambil pendekatan konsep ‘Mengurus dengan Berjalan Sekitar (Management by Walking Around – MBWA) bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat sentiasa cekap, pantas dan profesional.
Tan Sri Shamsul Azri berkata, cabaran ketiga adalah isu integriti penjawat awam dengan tidak menafikan masih wujud ‘Little Napoleon’ dalam organisasi kerajaan.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehingga bulan lalu, sejumlah 408 tangkapan melibatkan penjawat awam berbanding 318 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Itu belum lagi budaya pembaziran. Kita buat majlis besar-besaran, tapi tidak memberikan pulangan nilai untuk wang yang dilaburkan.
Selain itu, kelihatan banyak juga pembaziran makanan pada setiap majlis yang diadakan.
“Kita juga mudah berasa selesa dengan apa yang kita sedia ada. ‘Complacency’. Dan ini saya percaya ia terjadi kerana kurangnya penghayatan terhadap nilai-nilai yang menunjangi kita sebagai seorang insan seperti rukun MADANI yang digagaskan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang saya perhatikan masih lagi lemah,” katanya.
Susulan itu, untuk mendepani cabaran tersebut, beliau mahu penambahbaikan segera dilakukan seiring hasrat untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam secara tuntas.
Tambahnya, langkah itu adalah kritikal agar segala inisiatif yang diketengahkan betul-betul berkualiti dan benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.