KUALA LUMPUR: Semua pihak yang terbabit dalam proses pengurusan jenazah diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video sensitif termasuk urusan memandikan jenazah menerusi media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menyebabkan keaiban kepada si mati atau keluarganya.
“Semua pihak diseru agar tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video proses urusan mandi dan pengurusan jenazah kerana ia membabitkan kemuliaan insan (karamah insaniah) yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
“Bahkan Baginda Rasulullah SAW memberikan peringatan agar sentiasa berlaku ehsan serta tidak mematahkan tulang jenazah.
Dalam satu hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup,” katanya kepada BH hari ini.
Mohd Naím turut berkongsi firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan” (Al-Isra’:70).
Beliau mengulas kecaman ramai pihak terhadap sebuah badan pengurusan jenazah yang berkongsi siaran langsung di Facebook proses memandikan jenazah seorang bayi lelaki dinamakan Adham yang dikebumikan selepas 16 hari ‘ditahan’ di sebuah hospital swasta.
Susulan perkongsian itu, ramai netizen yang memberi respons antaranya meminta video terbabit dipadamkan kerana boleh menimbulkan salah faham, kekeliruan dan keaiban kepada ahli keluarga bayi terbabit.
Difahamkan bayi terbabit dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur sebelum meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.
Bagaimanapun, kontroversi timbul susulan pendedahan pihak yang menguruskan jenazah bayi terbabit yang mendakwa pihak hospital tidak membenarkan jenazah bayi itu dituntut memandangkan terdapat tunggakan bil rawatan.
Mengulas lanjut, beliau meminta semua pihak berkaitan supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri dalam hal pengurusan jenazah.
“Secara umumnya, pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sudah mempunyai panduan pengurusan jenazah.
“Semua pihak adalah dimohon untuk sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam hal pengurusan jenazah agar semuanya dilaksanakan dengan baik dan sempurna,” katanya.
Mengenai kes bayi terbabit, beliau meminta semua pihak bertenang memandangkan ketika ini ia masih di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri.
“Saya ingin menasihatkan semua pihak untuk tidak lagi menyiarkan video tular pengurusan jenazah bayi yang sudah mengeras kerana disimpan lama dalam peti sejuk beku sebuah hospital.
“Kita perlu menjaga aib si mati serta tidak mengguris hati mana-mana pihak yang sedang berada dalam kesedihan. Ini adalah akhlak yang diajar dalam Islam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.