comscore
Tumpuan :
Nasional

Menteri Luar Malaysia sampaikan kenyataan negara di UNGA pada Sabtu

 

NEW YORK: Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual menyampaikan kenyataan negara pada Sabtu (Ahad di Malaysia) pada Perbahasan Umum Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.

Dijadualkan pada kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, Mohamad dijangka membincangkan isu-isu utama global termasuk krisis kemanusiaan di Palestin dan Myanmar, serta peranan Malaysia dalam memajukan multilateralisme dan mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Sesi pada Sabtu itu juga akan menampilkan negara-negara anggota ASEAN, antaranya Kemboja, Indonesia, Singapura dan Filipina.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah ‘Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang’.

Sejak ketibaannya di New York, Mohamad aktif mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin global, termasuk sesi penting bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.

Ini adalah penyertaan pertama Mohamad dalam UNGA sejak pelantikannya sebagai Menteri Luar pada Disember 2023.

Perbahasan Umum Peringkat Tinggi yang berlangsung dari 24 hingga 30 September ini menyaksikan pemimpin-pemimpin dunia menyampaikan pendirian negara masing-masing berhubung pelbagai isu global dalam perhimpunan tahunan itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini