Oleh: Juliana Sharin & Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Sidang khas Parlimen hari ini akan menyaksikan kementerian berkaitan akan menggulung usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat minggu lalu.
Dua hari (Isnin dan Selasa) diperuntukkan bagi sesi pergulungan kali ini untuk menteri menjawab segala permasalahan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen ketika perbahasan usul itu.
Sesi perbahasan yang bermula Selasa tamat pada Khamis minggu lalu disertai 151 Ahli Parlimen dengan gaya dan gelagat masing-masing, tidak kurang juga yang membaca sepenuhnya daripada teks ucapan.
Rata-rata wakil rakyat yang berucap membangkitkan masalah keterjaminan bekalan makanan negara terutama isu beras termasuk kenaikan harga beras import, selain isu-isu ekonomi serta menyentuh mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak pula, masalah infrastruktur terutama jalan raya yang tidak sempurna, bekalan air bersih dan elektrik yang dihadapi rakyat terutama di kawasan pedalaman negeri itu disuarakan bagi mencari jalan penyelesaian.
KSP RMK12 dibentangkan Perdana Menteri bermatlamatkan ‘Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’, dengan memperkenalkan 17 anjakan utama sebagai pemangkin utama.
Melalui 71 strategi dan inisiatif utama bagi menghasilkan keberhasilan yang disasarkan, KSP RMK12 adalah jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat.
Artikel berkaitan: KSP RMK12: Perancangan yang inklusif, menyeluruh