![](https://media.buletintv3.my/2023/10/aWmk2nUk-BULETIN-TV3-28.jpg)
Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan menolak kemungkinan akan berlaku isu buli atau dera dalam pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, biarpun modul yang digunapakai adalah 70 peratus berasaskan ketenteraan, ekosistem PLKN 3.0 adalah berbeza.
“Saya percaya oleh kerana mereka tak akan ada bersama, tak sama seperti yang kadet yang belajar dalam universiti jadi kemungkinan berlakunya soal-soal seperti buli dan dera itu mungkin tak akan berlaku.
“Kita ambil kira macam isu buli tu dia duduk bersama selama empat tahun sebab dia belajar dalam universiti pada masa yang sama dia adalah kadet, semua ditempatkan di sama tempat jadi dia memang selalu jumpa jadi dia agaknya ekosistem di situ keadaan di situ ada senior ada junior.
“Manakala bagi PLKN yang dikelolakan oleh Kementerian Pertahanan di bawah wataniah, di kem-kem wataniah, kita ambil daripada mereka yang tak dapat masuk universiti dan itu pun ada tiga sesi pengambilan, dia pun dalam 40 hari sahaja,” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun ujarnya, kementerian tidak memberi sebarang jaminan berkaitan isu ini.
Tambahnya, pelaksanaan PLKN 3.0 yang akan dimulakan tahun hadapan dibuat mengikut kesesuaian dan kehendak di negara ini, serta tidak mengikut acuan dan format mana-mana negara luar.
“Sebagai contoh, macam ancaman dihadapi Korea Selatan dan Korea Utara. Kita fahamlah, kita tak ada ancaman begitu,” ujarnya.
Katanya, beliau mengakui ada segelintir pihak yang mempersoalkan kenapa PLKN 3.0 tidak menetapkan 100 peratus latihan ketenteraan sebaliknya hanya 70 peratus.
Tegasnya lagi, format latihan itu dibuat berasaskan ancaman dan risiko yang wujud di negara ini.
“Kita juga ada cabaran, cabaran kita dari segi nak pupuk perpaduan dalam negara yang masyarakatnya majmuk.
“Jadi kita ikut cara kita lah. Kita tak ada ancaman macam mereka (Korea Utara dan Korea Selatan),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.