comscore
Tumpuan :
Nasional

Menteri tak puas hati keadaan jalan di Johor Bahru

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turun melihat sendiri keadaan jalan raya di beberapa kawasan di bandar Johor Bahru. – FOTO : NSTP

JOHOR BAHRU: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya di bandar raya ini.

Beliau yang meninjau beberapa jalan raya di daerah ini berkata, sebagai pengguna jalan raya, beliau memahami keadaan dialami rakyat dan beliau sendiri akan tidak berpuas hati jika keadaan jalan raya berlubang dan kurang rapi penjagaannya.

“Sebentar tadi, saya turun melihat sendiri keadaan jalan raya di beberapa kawasan di bandar Johor Bahru yang kerap diadu kepada kami di kementerian.

“Antaranya di kawasan Jalan Tebrau di hadapan Hotel Crystal Crown, Jalan Persimpangan Kampung Dato’ Sulaiman dan persimpangan Kampung Majidee.

“Memang agak mendukacitakan keadaan jalan di sini. Benarlah seperti yang diadukan oleh pengguna jalan raya,” katanya di Facebook, hari ini.

Menurut Alexander, beliau sudah memanggil Jurutera Daerah Johor Bahru untuk mendapatkan penjelasan berkaitan keadaan jalan dan inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya mahu ada tindakan berkesan diambil dalam masa terdekat, bukan lagi membiarkan pengguna terus menerus terpaksa bersabar dengan keadaan sedemikian.

“Saya juga akan mendapatkan laporan status keadaan jalan raya bermasalah dengan lebih kerap daripada JKR pusat dan negeri di seluruh negara, bagi memastikan segala perancangan dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, isu penyelenggaraan jalan tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan keselamatan dan nyawa manusia.

Pada masa sama, beliau berharap supaya semua yang terbabit dalam memastikan keadaan jalan raya dalam keadaan baik termasuk kakitangan kementerian, JKR, agensi mahupun syarikat konsesi yang dilantik, mengambil tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti.

“Saya mahu melihat ada perubahan dalam cara semua pihak melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan ini.

“Letakkan diri sendiri sebagai pengguna. Jika kita rasa selamat dan selesa, pasti pelanggan kita iaitu rakyat juga berasa sedemikian.

“Tetapi, jika kita sendiri rasa sebaliknya, jangan hairan mengapa mereka marah dan tidak berpuas hati dengan kerja kita.

“Ingatlah, jangan ambil mudah tugas dan amanah penyelenggaraan jalan kerana akhirnya ia akan membabitkan soal keselamatan dan nyawa. Nyawa manusia tiada duanya,” katanya.

Loading...
Terkini