
KAJANG: Menyorok di sebalik timbunan kayu dan kawasan sekitar kilang bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Itu dilakukan pekerja warga asing yang bertempiaran lari selepas kilang kayu dan kilang plastik di Semenyih dan Balakong di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan 11.30 pagi 13 Januari lalu membabitkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awam dan risikan, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan memeriksa seramai 82 individu warga asing serta tujuh warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan menahan seramai 56 warga asing pelbagai negara yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan warga Indonesia, 27 lelaki dan 11 perempuan warga Myanmar, lima lelaki dan seorang perempuan warga Bangladesh, empat perempuan warga Thailand dan seorang lelaki warga China yang juga majikan.
“Semasa serbuan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan kayu yang menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan, namun gagal apabila ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka kemudian ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak lima saman kepada saksi dikeluarkan kepada warga tempatan untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.