comscore
Tumpuan :
Nasional

Mercun, bunga api bernilai RM854,000 dirampas

 

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis merampas 427 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM854,000 dalam satu serbuan di sebuah gudang di kawasan perindustrian Taman Scientex Senai di Kulai, Ahad lepas.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata, serbuan pada 5.30 petang dilakukan menerusi Op Taring Landai oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan hasil pemeriksaan mendapati gudang berkenaan dijadikan tempat penyimpanan pelbagai jenis mercun dan bunga api tidak berlesen.

“Kejayaan rampasan ini hasil intipan Unit Risik Marin (URM) selama seminggu, mercun serta bunga api itu dipercayai untuk dijual bagi sambutan Aidiladha.

“Pelbagai barangan lain turut disimpan di gudang berkenaan bagi mengaburi kegiatan sindiket,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di sini hari ini.

Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Kumar berkata URM PPM Wilayah Dua turut merampas 3,000 liter minyak diesel subsidi bernilai RM6,540 hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori di sebuah stesen minyak di Tampoi  di sini pada 12 tengah malam, semalam.

Beliau berkata sindiket itu menggunakan lori tiga tan dan hasil pemeriksaan menemukan lima tangki yang telah diubah suai untuk menyedut minyak diesel disembunyikan di ruangan belakang lori terbabit.

Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yag merupakan pemandu lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 12(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini