comscore
Tumpuan :
Nasional

MERCY Malaysia salurkan bantuan yang banyak kepada Turkiye, Syria

Foto: Mercy Malaysia

KUALA LUMPUR: Pertubuhan kemanusiaan MERCY Malaysia telah menyalurkan bantuan yang banyak susulan atur gerak pantas mereka ke lokasi tragedi gempa bumi yang dahsyat di Turkiye dan Syria.

Dalam kenyataan hari ini, pertubuhan itu memaklumkan sebanyak 40 silinder oksigen, 10 ventilator mudah alih, 500 Air, Sanitari dan Kebersihan (WASH), dan 1,800 Barangan Bukan Makanan yang terdiri daripada selimut, unit pemanas, beg tidur dan stokin telah disalurkan setakat 24 Feb lepas.

“Selain itu, empat set generator dan pek makanan telah diagihkan kepada 500 keluarga di Syria. Komposisi barangan keperluan yang diedarkan oleh MERCY Malaysia adalah berdasarkan piawaian kemanusiaan yang ditakrifkan dalam Buku Panduan Sfera,” menurut kenyataan itu.

Semalam, tiga kumpulan pertama Pasukan Penilaian Pantas dan Sokongan Kesihatan selamat pulang daripada tugasan Turkiye dan Syria yang dilanda beberapa siri gempa bumi besar pada 6 Feb lepas.

Dalam kenyataan sama, MERCY Malaysia memaklumkan pertubuhan itu menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM22 juta untuk melaksanakan Pelan Tindak Balas Kecemasan dan Pemulihan Gempa TürkiyeSyria 2023 yang bertujuan untuk membina keupayaan menghadapi komuniti.

“Antara penekanan MERCY Malaysia ialah akses kepada sokongan penjagaan kesihatan; sokongan tempat perlindungan kecemasan, psikososial, perlindungan dan sokongan pencegahan; air kecemasan, sanitasi dan kebersihan serta dana untuk barangan makanan dan bukan makanan,” menurut kenyataan itu.

Badan-badan korporat, institusi dan orang ramai yang berminat untuk menyumbangwag akan dikecualikan cukai ini boleh melayari laman web di www.mercy.org.my.

— BERNAMA

Loading...
Terkini