comscore
Tumpuan :
Nasional

Mereka meminta wang hasil jualan ternakan, sambil mengacu parang di leher saya – Mangsa

FOTO: NSTP

KUALA PILAH: Bekas tentera cedera apabila diserang lima lelaki dalam kejadian samun bersenjata di Kampung Gemuruh di sini kira -kira jam 3 pagi 31 Ogos lalu.

Warga emas Saedin Abdul Hamid, 77, dipukul bertubi-tubi dengan kayu pada bahagian tangan dan kaki.

Berikutan itu Saedin mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas didakwa cuba melawan sebelum tangan dan kakinya diikat.

Kata Saedin, ketika kejadian hanya dia dan isteri Noriah Rose,77 berada di rumah sebelum lima lelaki disyaki warga asing bertopeng dan bersenjatakan parang serta kayu menceroboh kediamannya dengan masuk melalui tingkap di bahagian dapur.

FOTO: NSTP

“Sebelum kejadian, isteri saya beritahu terdengar seperti orang buka tingkap kemudian semasa saya hendak ke bilik air tengok sekelling namun tidak kelihatan apa-apa sehinggalah ada ternampak seseorang sedang berjalan ketika saya berada dalam bilik tidur.

“Beberapa orang lelaki kemudian meluru ke arah saya lalu memukul bertubi-tubi, sebelum mereka meminta wang hasil jualan ternakan lembu dan kambing sambil mengacu parang di leher saya,” katanya.

Saedin berkata dia mengesyaki penjenayah itu salah rumah berikutan dia tidak menternak lembu dan kambing sebaliknya saudaranya yang juga jirannya menternak haiwan ternakan itu.

Katanya ketika kejadian isterinya yang berada di bilik sebelah dibawa ke ruang hadapan rumah namun tidak diikat tetapi diarahkan untuk tidak membuat bising sementara mereka mengeledah rumah.

“Ada pintu bilik yang berkunci telah dipecahkan menggunakan tong gas, habis barang-barang berharga milik anak kami dilarikan termasuklah wang tunai isteri berjumlah RM6,500 dan barang kemas berupa cincin serta rantai bernilai kira-kira RM26,000,” katanya.

Katanya selepas kesemua penjenayah itu melarikan diri, kira – kira jam 4 pagi diayang dalam kesakitan terus memandu kereta ditemani isterinya ke rumah anak keduanya di Taman Wira Jaya yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Ujarnya dia seterusnya dihantar bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan bersyukur tiada anggota badannya patah.

Namun dimaklumkan oleh pegawai perubatan lebam anggota badannya terutama pada kaki kanannya disyaki dipukul lebih kurang 14 kali dengan objek tumpul.

Laporan polis dibuat pada kira-kira jam 8.13 pagi di Balai Polis Melang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini