comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Merusuh bersenjatakan parang, 28 lelaki ditahan

 

BUTTERWORTH: 28 lelaki ditahan disyaki terbabit dalam kejadian merusuh bersenjatakan parang di Jalan Raja Uda, di sini, semalam.

Penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 51 tahun itu dibuat di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata polis melancarkan serbuan selepas menerima maklumat mengenai kejadian.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan pertengkaran dan provokasi sesama mereka.

“Oleh itu, polis mengesan kesemua mereka dan berjaya menahan 28 lelaki yang kemudian direman untuk tindakan lanjut.

“Polis turut merampas barang kes yang digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kata Mohd Asri lagi, usaha mengesan saki baki suspek lain yang terlibat juga sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta dapat berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes ASP Nasrina Darus di talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.

Terdahulu tular video pendek berdurasi empat saat di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merusuh dengan merosakkan sebuah kenderaan di hadapan sebuah premis dekat sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini