comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Merusuh di tempat kemalangan maut

 

Oleh: Fazli Ahmad

TEMERLOH: Seorang anggota polis trafik berpangkat sarjan dan seorang pengawal keselamatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diserang sekumpulan lelaki dipercayai ahli keluarga dan kenalan mangsa kemalangan maut di Kilometer 127, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, anggota polis berusia 37 tahun terbabit diserang sejurus tiba di lokasi kemalangan dipercayai kerana salah faham.

Menurutnya, Sarjan terbabit ditolak, dihalang serta dicerca sekumpulan lelaki dipercayai ahli keluarga dan kenalan mangsa kemalangan maut.

“Kejadian itu dirakam seorang pegawal keselamatan TNB kebetulan berada di lokasi kejadian,”

“Menyedari kejadian itu dirakam, kumpulan terbabit bertindak menyerang pegawal keselamatan berkenaan dan menyebabkan mangsa cedera di muka,”

“Kumpulan lelaki terbabit turut merosakan kereta pegawai keselamatan berusia 47 tahun itu.” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mazlan berkata, kejadian itu berlaku sejurus kemalangan membabit Perodua Myvi dan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki.

Menurut, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 20 tahun maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 75 tahun tidak cedera.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku setelah kereta dipandu warga emas dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur membuat pusingan U di kawasan garisan berkembar dan bertembung motosikal dari arah hadapan.

“Polis sudah menahan pemandu kereta terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”

“Susulan rusuhan dan kekecohan, polis sedang mengesan semua suspek terbabit dengan kejadian itu,”

“Hingga kini seorang lelaki berusia 42 tahun mempunyai pelbagai rekod jenayah sudah ditahan bagi membantu siasatan.” katanya.

Mazlan berkata, kes menghalang anggota polis bertugas itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan kejadian pengawal keselamatan diserang kumpulan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini